• Kenyataan Media

    Pencuri besi longkang diburu

    Share
    Berita Semasa

    POLIS Putrajaya menerima lapan laporan daripada penduduk berhubung kes kecurian besi penutup longkang yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan yang berlaku di kawasan perumahan Presint 8 dan Presint 11.

    “Polis ada terima laporan dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Siasatan untuk mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan oleh pihak kami,” katanya ketika dihubungi kepada NSTP, hari ini.

    Sementara itu, penduduk, Carlos Basri berkata, rakaman video yang tular itu adalah dari kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah penduduk.

    “Jika dilihat menerusi rakaman CCTV itu, penjenayah adalah orang yang sama tetapi menggunakan kenderaan yang berlainan.

    “Boleh dikatakan kegiatan itu dilakukan semasa penduduk tiada di rumah iaitu jam 9 hingga 10 pagi atau pada jam 12 tengah malam.

    “Buat masa ini, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah mula melakukan kerja bagi menutup lubang longkang berkenaan menggunakan simen bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Kita berharap polis dapat mengenal pasti pencuri itu secepat mungkin,” katanya.

    Difahamkan lebih 100 besi penutup longkang di Presint 8 dan 11 hilang dicuri oleh seorang lelaki yang menaiki dua kenderaan berbeza iaitu Perodua Alza dan Proton Wira.

    Dalam video yang tular di aplikasi Whatsapp dan Facebook itu, pencuri dilihat meletakkan kenderaannya berdekatan dengan besi penutup longkang sebelum mengangkat besi terbabit dan diletakkan di bahagian belakang pemandu serta bonet kenderaannya.

    Selain itu, rakaman CCTV itu turut menunjukkan bahawa suspek bukan saja mengambil besi penutup longkang di rumah terbabit, tetapi di dalam kenderaannya masih ada beberapa besi yang sama sebelum ditutup menggunakan kain berwarna merah.