Kenyataan Media
Putrajaya antara 20 bandar dunia jadi lokasi program larian antarabangsa Parkrun


PUTRAJAYA 19 Jan. - Putrajaya merupakan antara 20 bandar di dunia yang menjadi destinasi berlangsungnya penganjuran program larian antarabangsa Parkrun.
Parkrun merupakan satu program larian yang berpusat di United Kingdom (UK) dengan penglibatan warga komuniti setempat dan sehingga kini telah diadakan di 1,510 taman seluruh dunia seperti Kanada, Jerman dan Ireland.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pihaknya berbangga kerana Putrajaya terpilih untuk menjadi lokasi program itu yang berlangsung pada setiap Sabtu.
Lebih membanggakan katanya, rekod penyertaan sebanyak 337 orang telah menjadikan Putrajaya antara lima lokasi Parkrun dalam Asia yang mencatatkan rekod kehadiran tertinggi.
“Parkrun ini sebenarnya larian sepanjang lima kilometer (KM) yang bermula di Kompleks Futsal Presint sehingga Taman Wawasan sebelum patah balik ke garisan permulaan.
“Keunikan larian ini adalah konsepnya santai dan percuma serta dianjurkan sepenuhnya oleh sukarelawan dan komuniti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Parkrun Putrajaya di sini hari ini.
Menurut Aminuddin, Parkrun Putrajaya telah bermula sejak 3 November tahun lalu dan secara puratanya menerima penyertaan 160 orang setiap minggu termasuk dari negara luar.
Ujarnya beliau, PPj menyokong penuh acara berkenaan kerana bukan sahaja dapat menggalakkan warga Putrajaya mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, tetapi juga melibatkan kerjasama komuniti secara sukarela.
“Berbanding acara larian lain, peserta dikenakan yuran, dapat baju, pingat dan makanan serta sebagainya, tetapi ini lain kerana semua peserta tidak dapat apa-apa melainkan kepuasan.
“Tidak kira muda atau tua, malah orang kurang upaya (OKU) juga terlibat sambil berkerusi roda. Terdapat juga ibu bapa juga membawa anak-anak mereka sambil menolak ‘stroller’,” katanya.
Orang ramai yang berminat menyertai atau mengetahui lebih lanjut mengenai Parkrun Putrajaya boleh melayari laman web www.parkrun.my/register. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-putrajaya-antara-20-bandar-dunia-jadi-lokasi-program-larian-antarabangsa-parkrun-1.825431#ixzz5dRGFhXY6
© Utusan Melayu (M) Bhd