• Local Agenda 21 (LA 21) Putrajaya


    PENGENALAN LOCAL AGENDA 21 ( LA21 )

    Agenda 21 merupakan satu Pelan Tindakan Global ke arah Pembangunan Mampan untuk Abad ke 21.  Ia dihasilkan melalui deklarasi Earth Summit di Rio De Janerio, Brazil pada tahun 1992 yang dihadiri oleh 178 buah negara termasuk Malaysia.  Pelan Tindakan Global tersebut mengandungi 40 bab, yang menghuraikan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan ke arah Pembangunan Mampan.

    Bab ke 28 Agenda 21 telah menekankan peranan Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) dalam melaksanakan pembangunan mampan di peringkat tempatan menerusi Program LA21.  Oleh yang demikian, LA21 adalah Agenda 21 yang dilaksanakan di peringkat tempatan untuk membentuk perkongsian antara pihak berkuasa tempatan, masyarakat dan sektor swasta dalam merancang, mencapai kata sepakat, dan selepas itu bersama-sama bertindak terhadap isu-isu pembangunan mampan yang mempengaruhi kualiti hidup mereka.   



    LATARBELAKANG LOCAL AGENDA 21 ( LA21 ) PUTRAJAYA

    Penubuhan Jawatankuasa Local Agenda 21 ( LA21 ) telah diluluskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Perbadanan Putrajaya Bil. 6/2008 bertarikh 18 Disember 2008.  Pada 22 April 2009, Mesyuarat Penyelarasan Pra-Jawatankuasa Induk Local Agenda 21 telah diadakan di mana cadangan senarai keahlian Jawatankuasa Induk serta Jawatankuasa Kerja,  cadangan senarai Program LA21 yang akan dilaksanakan oleh setiap Jawatankuasa Kerja serta cadangan senarai rakan kongsi, telah dipersetujui oleh Jawatankuasa.

    Bagi memantapkan fungsi LA 21 Putrajaya dan melancarkan penyelarasan serta pemantauan semua program / projek yang telah direncanakan, pelbagai usaha telah dijalankan.  Diantaranya adalah penganjuran Forum Perbandaran bertajuk ”Pengenalan LA 21 : Pengalaman KPKT, MBPJ dan DBKL” pada 15 April 2009, yang mana telah dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi, pegawai serta anggota kumpulan sokongan Perbadanan Putrajaya yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam Pelaksanaan LA 21 Putrajaya. 



    WAWASAN MASYARAKAT LOCAL AGENDA 21 ( LA21 ) PUTRAJAYA


    “Kami, Masyarakat Putrajaya Akan Menggembleng Tenaga Dan Secara Bersepakat Menjadikan Putrajaya Bandaraya Ceria, Mesra Alam, Selamat, Beridentiti Dan Mempunyai Penduduk Yang Berilmu Dengan Mengamalkan Nilai-nilai Murni Demi Kesejahteraan Penduduk Masa Kini Dan Generasi Masa Hadapan”



    UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI

    Urusetia lnduk Local Agenda 21 Putrajaya

    Jabatan Perancangan Bandar, 

    Perbadanan Putrajaya

    Kompleks Perbadanan Putrajaya, 

    Presint 3,  Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan  

    62675 Wilayah Persekutuan Putrajaya

    No Telefon : 03 8887 7931